Khamis, 11 Ogos 2011

Kita Merancang, Dia Menentukan... (Bahagian 3)


Jun 2011

Aku mendaftar di Kolej Islam Darul Ridzuan atau KISDAR. Letaknya di Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Sekali lagi berlaku dalam kehidupanku sesuatu yang tak pernah kujangkakan, aku berada di sini. Patutlah apabila pertama kali aku mendengar namanya, terasa bergetar hatiku. Ketika aku tahu kewujudan kolej ini, aku merasa takjub kerana adanya sebuah institusi Islam di daerah ini. Yang dulu kutahu yang ada hanya Kolej Melayu tapi kini ada Kolej Islam juga rupanya. Dan amat tidak kusangka aku bisa menuntut di kedua-duanya.
Masih kuingat, ketika ikhwah mencadangkan agar aku menyambung ke UiTM Seri Iskandar. Ketika itu aku mengharapkan agar aku disarankan ke medan baru di luar Perak. Tapi ternyata saranan ikhwah hanya di Perak. Justeru aku merasakan bahawa aku harus berada di Perak bukan di luar Perak. Setelah kufikir-fikirkan ada juga baiknya. Di saat dakwah masih kecil begini aku patutnya dekat dengan ikhwah untuk saling menguatkan asas yang ada. Setelah kupertimbangkan baik dan buruk, aku memilih KISDAR sebagai destinasi seterusnya berbanding UiTM. Maka kuteruskan perjalanan hidupku sebagai penuntut jurusan Syariah Islamiyyah di sini. Memang kuakui, banyak kelemahan kolej ini dari segi mutu dan kualiti pelajarannya, bi’ah yang ada di sini dan pelbagai faktor lagi. Namun aku tidak mahu faktor tersebut menjadi penghalang buatku untuk meneroka sebuah kejayaan. Bagiku ini adalah pengalaman baru buatku. Sebelum ni aku pernah berada di kondisi tempat yang berprestij dan kini aku ditempatkan di sebuah medan yang baru nak menempa nama. Biarlah aku mengukir sesuatu dalam sejarah kehidupanku. Di sini aku akan berdepan dengan masyarakat yang mungkin sedikit berbeza gaya dan corak pemikiran. Aku sentiasa berdoa mengharapkan agar aku dapat menimba sebanyak mungkin ilmu baru. Bukan sahaja yang berkaitan akademik bahkan tentang ragam manusia. Akan datang mungkin banyak lagi yang bakal aku lalui. Semoga pahit manis di masa lalu mengajar aku untuk menghadapi kekangan pada masa akan datang. Cukup sahaja setakat ini coretan tentang kisahku. Tentang apa yang akan berlaku pada masa akan datang insya Allah akan kulakarkan di post yang lain. Sekian, wassalam..

Ramadhan @ Ogos 2011