Khamis, 19 November 2009

Kita, Dunia dan Akhirat.

Assalammu'alaikum warahmatullah hiwabarokatu...

Alhamdulillah,syukur dirafa' (dipanjatkan) kepada Allah S.W.T. Rabbul Jalil Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.Atas kurniaan,hidayah,taufiq serta 'inayahNya dapat jua diri ini kembali mencoretkan sesuatu dalam blog ini.Selawat dan salam kuhadiahkan buat junjungan mulia,kekasih Allah,Nabi Muhammad s.a.w. rahmatul 'alamin.Tidak lupa jua buat para sahabat beserta ahli keluarga Baginda,tabi' tabi'in,salafus-soleh yang menyambut tugasan khalifah,para syuhada' yang menyambung sirah Islamiyyah dengan nyawa dan darah mereka.Atas asbab usaha mereka,Islam dan Iman kita nikmati kini.Alhmdulillah.

Duhai teman-teman seperjuangan sekalian.Daku yakin bahawa setiap manusia itu (secara fitrahnya) memang inginkan kepada kebaikan.Masing-masing ingin yang terbaik bagi diri masing-masing.Semua orang inginkan markah tertinggi dalam setiap exam paper yang diambil,inginkan pakaian yang paling baik bagi dirinya,makanan yang paling lazat,pasangan hidup yang paling kacak/cantik/baik.
Segala-galanya yang terbaik(jika boleh) kerana itulah fitrah manusia.Maka demi segala yang baik ini,manusia telah melakukan pelbagai usaha(efforts) bagi memastikan apa yang terhajat dihati tertunai manjadi kenyataan.Bersungguh-sungguh.

Dan kita juga berusaha menjauhi perkara-perkara yang tidak kita sukai,sebagai contoh,gagal dalam exam,memakai pakaian yang hodoh serta lusuh dikhalayak ramai,makan makanan yang telah luput tempoh selamatnya(expired)dan sebagainya.Kita meletakkan pelbagai usaha untuk semua ini.

Namun,sedarkah yang kita tidak tinggal di dunia ini buat selama-lamanya?

Sebagai orang-orang yang beriman dan bertaqwa,kita percaya bahawa kita dalam perjalanan menuju ke alam yang baqa’(kekal).Tiba masanya kita pasti pergi meninggalkan alam yang fana’(sementara) ini.Di sana,final destination untuk kita hanya dua;syurga ATAU neraka yang Allah sediakan.Sebagaimana tuntutan fitrah yang kita bicarakan tadi,kita berkehendakkan yang terbaik di dunia.Tidakkah kita jua mahukan yang terbaik di akhirat sana? Jannah? SyurgaNya yang tiada tandingan dan bandingan.Yang didalamnya terkandung segala nikmat yang tidak pernah dibayangkan oleh minda manusia yang terhad keupayaannya ini.Seperti mana firman Allah S.W.T dalam Al-Furqan:

“Sesungguhnya bagi orang yang bertaqwa disediakan syurga tempat meraka beroleh apa yang mereka ingini:Kebun-kebun dan pokok-pokok anggur,dan gadis-gadis remaja yang cantik dan sebaya,dan gelas-gelas yang penuh minuman yang bersih menyilau.Di sana tidak terdengar perkataan yang sia-sia dan tidak pula kata-kata dusta.Sebagai balasan dari Tuhanmu,dan sebagai kurniaan yang setimpal.”

(Surah An-Naba’:31-36)

Apa pula usaha kita untuk ke syurga Allah S.W.T.?Jika untuk hal-hal yang bersifat fana’(sementara) tadi kita telah berhempas-pulas,berusaha untuk menggapainya,bagaimana pula halnya dengan hal yang bersifat baqa’(kekal) ini?

Ya Allah,betapa sedikitnya masa yang daku peruntukkan bagi mencari keredhaanMu…

Apa pula usaha yang telah kita lakukan untuk menjauhi perkara yang paling tidak diingini oleh mana-mana makhluk yang dicipta Al-Khaliq; NERAKA?

Adakah usaha kita untuk menjauhkan diri dari nerakaNya itu dengan memperhambakan diri dalam percintaan kita dengan teman lelaki/wanita kita?
Yang bukan mahram kepada kita.Yang belum pun pasti menjadi pasangan hidup kita yang sah.Keluar berdua-duaan,berpegangan tangan?

Atau
dengan menonton pelbagai rancangan di kaca televisyen yang memang direka untuk melalaikan dan membelai nafsu kita atau dengan permainan computer(computer games)?

Adakah komitmen yang kita berikan untuk mengikuti perkembangan terperinci Malaysian Idol,Akademi Fantasia,Mentor,dan pelbagai lagi rancangan hiburan(yang menjauhkan seorang hamba dengan Tuhannya).

Adakah dengan keprihatinan kita (yang mengatasi urusan-urusan akhirat) terhadap kehidupan para artis dan aturan perlawanan bola sepak?

Adakah dengan memakai pakaian yang tidak mengikut lunas-lunas syarak?

Atau dengan kesanggupan
berjaga(qiam) malam(al-lail) semata-mata untuk menyaksikan 22 orang berlari-larian dalam sebuah petak hijau mengejar sebiji bola?

Adakah dengan segala hal yang kita lapangkan masa untuknya ini akan mendatangkan manfaat kepada kita di dalam kubur nanti?Di akhirat kelak?Tika disoal Allah di hadapan Al-Mizan?Tika tiba giliran kita meniti di atas titian sirat?

Firman Allah:

“Ingatlah,pada suatu hari Allah mengumpulkan kamu, pada hari berhimpun seluruh manusia,itulah hari dimunculkan segala kesalahan….”

(Surah At-Taghabuun:9)

Dan renungilah firmanNya yang lain:

“Apabila langit terbelah,dan bintang-bintang jatuh berserakan.Apabila lautan pecah bercampur-baur,dan apabila kubur-kubur dibongkarkan.
Maka,setiap orang sedar akan hal yang telah mereka lakukan dan yang telah mereka lalaikan.”

(Surah Al-Infithaar:1-5)

Dan lagi:

"Hampir sahaja Neraka Jahanam meledak kerana geram.Bila satu kelompok dimasukkan ke dalamnya(neraka),penjaga Jahanam selalu bertanya kepada mereka:'Apakah tidak ada seorang pemberi peringatan yang datang kepadamu?'Mereka menjawab:'Bahkan!Telah datang kepada kami seorang pemberi peringatan,tetapi kami dustakan,kami katakan Allah tidak menurunkan apa-apa.'Dikatakan:'Kamulah orang yang dalam kesesatan yang sangat besar."

(Surah Al-Mulk:8-9)

Mana perginya rasa berdosa dengan Allah S.W.T.?
Ke mana hilangnya rasa malu dengan Tuhan Yang Esa?

Tidak adakah tujuan kita hidup di dunia ini?
Ada.Allah telah memberitakan sedari awal lagi dalam kalamNya yang bermaksud:

“Tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu.”

(Surah Adz-Zaariyat:56)

Dan ingatlah pesan Imam al-Ghazali (yang ditegaskan di dalam pengajarannya)ialah: MEMBUANG RASA BERDOSA KETIKA MASIH MELAKUKAN DOSA ADALAH SEBESAR-BESAR DOSA!

“Ya Allah,
Ampunilah segala dosa-dosa kami.Sama ada dosa yang kecil mahupun yang besar,yang zahir mahupun yang batin,yang kami sedar mahupun tidak,yang kami lakukan dengan bersungguh-sungguh mahupun tidak.Ampunankanlah segala dosa kami yang hanya ada pada pengetahuanMu yang Maha Mengetahui.

Ya Allah,
Kau berilah kami peluang untuk bertaubat sebelum pulang menghadapMu.
Kau curahkanlah rahmatMu semasa matinya kami,dan kurniakanlah keampunanMu setelah itu.

Ya Allah,
Tambahkanlah rasa kehambaan kami kepadaMu,rasa kasih dan rindu kami jua padaMu Yang Esa.Ameen Ya Rabbal `Alamiin.”

Moga coretan ini menjadi peringatan(tazkirah) yang membawa manfaat. Ampunan kupohon dariMu Illahi,atas kesilapan atas kejahilan hambaMu yang kerdil ini.

Wallahu Waliyyut Taufiq.
Al ‘Abdan Al-Faqiran ila ‘Afwi Rabbihi.