Isnin, 30 Ogos 2010

Allah Sayang dia..

Bismillah..

17 Ogos lalu, ayahku kembali ke rahmatullah..
Terlalu kejap rasanya aku ingin berkhidmat untuknya namun Allah lebih sayangkan dia. Pemergian ayahku juga seperti arwah adikku dulu. Kedua-duanya pergi ketika aku tiada di rumah. Namun kedua-duanya pergi bagaikan telah ada tanda-tanda Allah tunjukkan untukku. Mungkin kerana Dia tahu sejauh mana kesanggupanku menerima pemergian mereka.

16 Ogos, sehari sebelum arwahku pergi..
Aku di banglo kawanku setelah selesai menolongnya. Tiba-tiba aku rindu pada arwah.
Terasa ingin menelefon tapi entah kenapa tangan ini terasa berat ingin menekan butang. Aku menghantar mesej kepada adikku menanyakan khabar di rumah.
"Ruamah ok je" balas adikku kurang memahami maksudku.
"Ayah apa cerita?"
"Macam biasa" jawapan ini sedikit sebanyak menenangkan hatiku. Lalu hajat ingin menelefon rumah kubatalkan.

Malam 17 Ogos, aku bersama ikhwahku(saudara-saudaraku) iftar di rumah akhi Zikri. Selesai iftar terus pulang kerana aku ingin memulangkan kereta rumetku. Malam itu aku pening kepala tapi tetap kuteruskan solat terawikh. Semasa tahyat rakaat kedua hansetku bergetar namun kubiarkan saja. Selesai solat ada terpapar 'missed call' dari kakakku.
Ku hanya balas dengan mesej "duk maye".
Baru saja mengangkat takbir untuk solat seterusnya bergetar lagi hansetku. Terus aku keluar jemaah menjawab panggilan tersebut.
"Ayah rebah dalam bilik air belum sedarkan diri." Kakakku memintaku menelefon adikku terus.
Aku menelefon adikku sekadar menenangkannya.

Esoknya jam 4 pagi ada mesej dari kakakku.
"Medulla ayah rosak doktor kata dah xde harapan"

Pagi tu kupulang..
Walau kudapat rasakan kemungkinan tak dapat melihatnya, kugagahkan diriku. Teringat hajatku kali terakhir sebelum kuberangkat ke kampus. Ku ingin mencium pipinya pada Aidil Fitri kali ni. Namun ternyata masanya sudah tiba. Ketika aku masih di dalam bas di Tanah Merah, dia pergi buat selama-lamanya. Bila difikirkan ada baiknya aku tidak berada di sisinya ketika dia pergi. Aku berusaha menguatkan diriku agar dapat menenangkan ahli keluargaku yang lain.

Ketibaanku di rumah disambut oleh jiran tetangga. Masing-masing menunggu aku untuk sama-sama memandikan arwah. Sebelum itu kusempat mencium pipinya. Itulah kali pertama setelah mungkin bertahun-tahun aku menciumnya waktu masih kecil. Kutabahkan diriku untuk menghadapi tetamu dengan tenang.

Alhamdulillah segala-galanya selesai sebelum berbuka. Kehadiran saudara-mara dan sahabat arwah membuatkan aku sedikit hilang kesedihanku. Namun aku kalah bila berseorangan. lebih-lebih lagi jika aku berada di rumah. Lalu kuputuskan untuk pulang ke kampus seawal mungkin. Setelah selesai urusan berkaitan kuberitahu ibuku untuk pulang. Berat untuk ibuku melepaskan aku pergi namun kugunakan alasan ujian di kampus mendesakku untuk segera pulang. hakikatnya aku tidak mahu kenangan di rumah membuatkan aku terasa kehilangan arwah.

Sampai-sampai saja di kampus, Alhamdulillah banyak kerja datang kepadaku membuatkan aku terlupa akan kehilangan arwah. Yang mampu kulakukan adalah berdoa untuk arwah agar rohnya dicucuri rahmat.

Yang pergi, biarlah ia pergi. Kita yang masih ada juga akan menyusul. Persoalannya sudahkah kita bersedia?

Isnin, 9 Ogos 2010

Dia Murobbiku..

Masa itu
Wah, seronok sekali aku
Tanpa rasa jemu
Kurasakan dunia ini aku yang punya
Tak pernah kusangka igauan itu
Muncul dalam hidupku

Tanpa rasa jijik dan malu
Atas perbuatanku itu
Aku merasa gah dengan apa yang kumiliki
Semuanya kutolak ke tepi
Walaupun kutahu dosa namun ku semakin berani

Ya Allah!
Ke mana hilang Imanku!!!
Jauh sekali kurasa diriku dari hidayah-Mu
Hina sungguh diriku untuk berdepan dengan-Mu
Jika ditakdirkan aku 'pergi' ketika itu
Pasti nerakalah tempat untukku..

Terima kasih Ya Allah
Saat-saat ku jauh dari-Mu
Masih ada kasih-Mu untukku
Masih sudi Kau menjadi Murobbiku
Mengajarkan aku dengan segala ujian-Mu
Membuat kuinsaf atas khilafku

Engkaulah Murobbi tercinta
Maha Pengasih
Maha Penyayang
Terimalah taubatku!
Terimalah amalanku!
Tusukkanlah Iman dalam dadaku

Kuingin kembali kepada-Mu
Dengan penuh rintihan
Ampunilah dosa silamku
Kuredha dengan ketentuan-Mu
Aku adalah mutlak milik-Mu
Oh Murobbiku..