Selasa, 20 April 2010

RINTANGAN PERJUANGAN DALAM KEHIDUPAN PENDAKWAH

Dalam meniti liku dan lurah-lurah perjalanan ini kalaulah seorang Da’ei tidak berada di bawah lindungan Allah Subhanahu Wata’ala, tidak berhubung terus dengan Nya, tidak bertawakkal kepadaNya, tidak berpegang kepada KitabNya dan tidak pula mengikuti Sunnah NabiNya maka sebenarnya ia sedang berada di ambang bencana dan musibah yang besar. Rasulullah S.A.W. telah meramalkan cabaran dan dugaan-dugaan yang dihadapi oleh para Mukmin, Da’ei dan Mujahidin di jalan Allah Subhanahu Wata’ala. Beliau bersabda:

Orang Mukmin sentiasa diambang 5 dugaan yang susah:
1. Mukmin yang dengki padanya
2. Munafiq yang benci kepadanya
3. Kafir yang memeranginya
4. Syaitan yang menyesatkannya
5. Nafsu yang sering bertarung untuk mengalahkannya

(Hadith ini telah ditakhrijkan oleh Abu Bakar Ibnu Lal dan hadith Anas
dalam tajuk: “Akhlak Yang Luhur.”)
Dalam hadith ini Rasulullah Sallallahu’alaihi Wasallam, telah menghuraikan tentang fitnah dan kesusahan yang sewaktu-waktu boleh menimpa para Da’ei; supaya mereka dapat berhati-hati dan bersiap sedia. Mereka hendaklah menyiapkan bekalan yang cukup. Kiranya dengan demikian, mereka dapat mengatasi segala halangan dan rintangan dengan selamat.

RINTANGAN PERJUANGAN KEHIDUPAN PENDAKWAH
Ketahuillah wahai saudaraku para juru dakwah, sesungguhnya Allah S.W.T. pasti mengenakan cubaan kepadamu. Dia akan menguji hakikatmu. Benar-benar seperti yang pernah dinyatakannya di dalam Al Qur’an dengan firmanNya:

“Aiff lam mim, Adakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan saja untuk mengaku bahawa ‘Kami telah beriman dan sedangkan mereka tidak diuji lagi? Sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.” (Surah Al Ankabut 1-3)

Pengakuan keimanan sebenarnya memerlukan kepada bukti. Jalan perjuangan (JIHAD) adalah jalan yang panjang penuh dengan derita dan sengsara. Marilah kita melihat rintangan tersebut satu persatu mengkaji betapa bahayanya dan betapa pula kesannya. Dengan itu dapat kita menemukan caracara yang boleh diikuti untuk melepaskan diri daripadanya.


RINTANGAN PERTAMA:
ORANG MUKMIN YANG DENGKI KEPADANYA
Sebagaimana lumrah diketahui hasad adalah penyakit hati yang amat
berbahaya. Hasad boleh mengikis Iman seseorang Mukmin jika ia tidak cepat kembali siuman, bertaubat kepada Tuhan dan tidak dilimpahi ‘Inayah dan Rahmat Subhanahu Wata’ala. Tepat seperti yang apa disabdakan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihi Wasallam:
“Penyakit umat sebelum kamu telah menular kepada kamu; iaitu hasad dengki dan permusuhan. Permusuhan tersebut ialah pengikis atau pencukur, Saya tidak maksudkan ia mencukur rambut, tetapi (yang saya maksudkan) ialah ia mengikis agama.”
(Hadith riwayat Al-Baihaqi)

Para Du’at menyeru manusia ke jalan Allah Subhanahu Wata’ala, khasnya yang mendapat sambutan baik, yang cergas, yang masyhur dan berbakat sentiasa terdedah kepada cacian lidah orang-orang yang hasad serta tipu-daya mereka. Golongan tersebut merasa dengki pada ilmu dan kelebihan-kelebihan yang ada pada para du’at. Mereka sentiasa mengintai dan menunggu-nunggu masa yang baik untuk mencetuskan pertembungan antara mereka dan menjatuhkan imej mereka. Ibnu Mu’taz pernah berkata:
“Orang yang hasad itu marah kepada orang yang tidak berdosa, kikir terhadap sesuatu yang bukan kepunyaannya dan sentiasa mencari atau meminta sesuatu yang tidak akan diperolehinya.”

RINTANGAN KEDUA:
ORANG MUNAFIQ YANG BENCI KEPADANYA

Halangan kedua yang dihadapi oleh para da’ei Muslim ialah kebencian
dan tipu-daya golongan munafiqun. Orang-orang yang munafiq memang ada di mana-mana dan dalam zaman apa pun sepanjang sejarah tidak sunyi dan kewujudan mereka. Ini adalah kerana motif dan karenah kemunculan golongan ini memang ada dan mungkin wujud bila-bila masa. Ada yang menjadi munafiq didorong oleh pertimbangan untuk
merangkul kepentingan duniawi. Kadang-kadang ia berselindung di sebalik taqwa dan agama untuk sampai kepada tujuannya. Ada yang menjadi Munafiq dengan tujuan mencetuskan krisis, melaga-laga dan memecahbelahkan barisan umat Islam. Ada yang berbuat demikian kerana niat jahatnya sendiri. Ada pula yang mendapat arahan dan orang lain. Mereka pun meresapi jamaah untuk tujuan-tujuan tadi. Terdapat juga golongan yang sifat Munafiq telah mendarah daging dalam dirinya hingga sukar untuk melepaskan diri dari sifat ini. Ada
yang menjadi haipokrit untuk berkuasa atau melepaskan diri dan penindasan
penguasa.

RINTANGAN KETIGA:
ORANG KAFIR YANG MEMERANGINYA

Halangan ketiga yang dihadapi oleh para da’ei — Khasnya sekarang ialah cabaran keras, tipu daya dan komplot-komplot orang Kafir. Orang-orang kafir adalah pengembang dan penyokong-penyokong kebatilan. Mereka adalah alat-alat syaitan, pengikut-pengkutnya pada bila-bila masa dan di mana juapun. Mereka selama-lama adalah musuh kebenaran, keimanan hingga hari kiamat.
Orang-orang kafir sebenarnya orang-orang yang sentiasa memerangi seruan dan ajakan kebenaran sejak Allah mencipta Adam ‘alaihissalam. Mereka adalah golongan penentang yang memerangi kebenaran risalah-risalah yang dibawa oleh para Rasul. Penentangan mereka terus menerus bergejolak sehinggalah Allah memutuskan ketentuannya.
Kalau kita tatapi sejarah kita dapati Musa ‘alaihissalam pernah mencabar Firaun dengan kebenaran tanpa gentar sedikitpun akan mati; selama perjuangan tersebut demi Allah. Kisah beliau ini tersurat dalam Al Qur’an; dalam Surah al Ghafir: Ayat 23 bermaksud:
“Dan sesungguhnya telah Kami utus Musa dengan membawa ayat-ayat kami dan keterangan yang nyata”

RINTANGAN KEEMPAT:
SYAITAN YANG MENYESATKAN

Halangan keempat yang dihadapi oleh para pendakwah yang bahaya dan pesonanya lebih hebat dan halangan sebelumnya, yang menjadi pangkal segala bencana dan penyelewengan ialah tipu daya syaitan, putar belit iblis dan karenah hawa nafsu. Pendakwah akan tetap selamat meskipun halangan luaran, sosial, politik, ekonomi dan lain-lain yang dihadapinya amat besar, selama mana ia tidak menyerah kepada nafsu dan tunduk melutut kepada kehendak syaitan. Syaitan memang musuh Mukmin yang paling besar. Ia tidak jemu menipu, menimbulkan keraguan dan meransang ke arah kejahatan. Selagi ada hayat dikandung badan dan selama iman masih bertakhta di dada selama itu ia tetap merasuk.
Syaitan pernah bersumpah:
“Demi kemuliaanMu (Allah) akan Aku perdaya mereka (anak Adam) semuanya kecuali
para hambaMu yang ikhlas di kalangan mereka. Allah menjawab. Yang hak dan yang
benar Aku katakan: “Aku akan penuhkan neraka jahannam dengan (diri) mu dan sesiapa
dan mereka yang menurutmu semuanya.”
Kerana sumpah syaitan ini maka para pendakwah hendaklah lebih
waspada terhadap syaitan dan musuh-musuh yang lain. Sebab syaitan musuh
yang bukan kepalang bahayanya.


RINTANGAN KELIMA:
NAFSU YANG MERANSANGNYA

Halangan dan cabaran kelima yang dihadapi oleh para da’ei ialah ketegalan dan keliaran nafsu. Nafsu dengan segala karenahnya tidak mudah untuk diatasi oleh seorang da’ei. Tepat seperti yang tersebut dalam A1-Qur’an terhadap kata-kata Nabi Yusuf:
“Aku tidak membebaskan diriku (dari beban dosa) kerana nafsu sering menyuruh yang buruk, kecuali orang yang dirahmati oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku maha pengampun maha penyayang.” (Surah Yusuf: Ayat 51)
Sebenarnya nafsu seseorang itu adalah wadah tempat berinteraksi segala yang buruk dan jahat, halal dan haram, hak dan batil. Ia laksana bejana yang menerima apa sahaja. Baik hidayah mahu pun dalalah, baik yang luhur mahu pun yang onar. Sesuai dengan firman Allah maksudnya:
“Demi jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya), justeru Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketaqwaannya, sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu, dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.” (Surah Al-Syams: Ayat 7—10)