Jumaat, 5 November 2010

Apakah Peranan Kita?

Aku bukanlah insan yang sempurna. Namun aku bertekad meyempurnakan tugasku sebagai seorang makhluk bergelar manusia. Mungkin ramai masih belum sedar akan tujuan hidupnya. Namun yang pasti hidupnya kita adalah untuk-Nya. Firman Allah sentiasa bermain-main di kepalaku.
"Tidak Kuciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembahku."
(az-Zariyat,51:56)
Syukur pada-Mu Ya Rabbi! Dalam jutaan jiwa manusia Kau memilihku untuk merasai nikmat ini. Jika kukenang sepanjang perjalanan hidupku, tak pernah kuterbayangkan untuk menjadi seperti kini. Kalau dulu ku merasa cukup sekadar ke masjid menunaikan solat berjemaah. Terasa seolah-olah diri ini sudah cukup layak untuk untuk memiliki syurga-Mu. Bagaikan sebelah kakiku sudah menjejak pintu syurga. Namun sekian lama tersentuh dengan tarbiah, kurasakan kecil sekali diriku ini. Terasa semakin jauh jarak ke syurga. Menyedari hakikat tujuan penciptaan diri, barulah kutahu bahawa tugas sebagai manusia banyak sekali. Diri ini bukan diciptakan hanya untuk bersenang-lenang. Tidak cukup jika hanya beribadah siang dan malam menyempurnakan rukun Islam yang lima. Hidup ini adalah satu pengabdian. Kepada siapa? Ibu? Ayah? Atau penguasa? Kata-kata siapakah yang paling utama patut kita taati? Realitinya kita menjadikan tuntutan dan kehendak diri lebih utama berbanding kehendak dan perintah Allah.
Wahai saudaraku,
Ketahuilah bahawasanya jiwa kita ini milik Allah. Hadirnya kita ke dunia adalah dengan kehendak Allah. Namun layakkah kita apabila lahir ke dunia kita melupakan Pencipta kita? Seolah-olah hadirnya kita dengan sendiri.
Alhamdulillah. Semakin ditarbiah, semakin kusedar akan hakikat diri ini. Suatu hari nanti aku akan kembali kepada-Nya. Dia bakal menghisabku. Apa yang bakal kutunjukkan pada-Nya? Apakah cukup sekadar dengan amalan solatku?
“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, “Aku hendak menjadikan khalifah di bumi”
(al-Baqarah,2:30)
Pertama kali kumendengar ayat ini, aku terasa ingin tahu siapakah yang Allah maksudkan itu. Terus kubaca sambungan ayat tersebut, “Mereka (malaikat) berkata “Apakah Engkau mahu menjadikan orang yang merosakkan dan menumpahkan darah di sana sedangkan kami bertasbih memuji-Mu dan menyucikan nama-Mu?”
Malaikat menyoal sedemikian rupa kepada Allah. Mereka tidak yakin bahawa makhluk yang bakal Allah jadikan khalifah di muka bumi itu mampu mentadbir diri mereka sendiri. Saudaraku! Apakah yang bermain di fikiranmu? Tahukah kita bahawa kitalah khalifah yang dimaksudkan Allah itu untuk mentadbir bumi ini? Aku terus berfikir dan berfikir. Mencari idea bagaimana mahu melaksanakan tugas tersebut. Teringat aku akan firman Allah dalam surah ali ‘Imran ayat ke 110 tentang beruntungnya umat manusia. “Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik untuk manusia, (kerana kamu) menyuruh berbuat yang ma’aruf , dan mencegar dari kemungkaran dan beriman kepada Allah.” Rupa-rupanya Allah sudah menunjukkan jalan bagaimana mahu mentadbir bumi ini. Bumi ini didiami oleh manusia, binatang dan makhluk Allah yang lain. Pelbagai keistimewaan Allah berikan kepada manusia melebihi makhluk-Nya yang lain. Akal manusia membezakan kita manusia dengan makhluk Allah yang lain. Akal yang diberikan tidak lain adalah untuk kita gunakan bagi mentadbir bumi ini. Inilah tugas kita sebagai khalifah. Bagaimana? Membimbing sesama manusia untuk memastikan kerosakan dan pertumpahan darah tidak berlaku seperti mana yang dibimbangkan oleh para malaikat. Inilah peranan kita sebagai khalifah. Perlunya kita mengajak sesama kita berbuat kebaikan dan mencegah daripada melakukan kemungkaran sepertimana firman-Nya,
“Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh berbuat yang ma’aruf, dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.”
(Ali ‘Imran,3:104)
Dari kecil aku sentiasa seronok mendengar sirah Rasulullah. Diceritakan oleh ustaz dan juga ustazah tentang kehiupan seorang rasul terakhir iaitu Muhammad Rasulullah S.A.W. Betapa hebatnya baginda hidup membimbing manusia di zamannya. Beliau diikuti tingkah lakunya, kata-katanya dan apa yang diakaui olehnya. Walaupun ratusan tahun meninggalkan kita namun terasa rohnya masih hidup bersama kita sampai kini. Namun demikian wahai saudaraku, pernahkah kita terfikir apakah sunnah baginda yang paling banyak baginda ditunjukkan kepada kita? Tahukah kita betapa kasih dan sayangnya baginda kepada kita?
“Sungguh telah datang kepadamu seorang rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaan yang kamu alami, (dia) sangat sekali menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, penyantun dan penyayang terhadap orang-orang beriman.”
(at-Taubah,9:128)
Itulah yang dirasai oleh qudwah dan uswah kita. Tugas baginda diutuskan untuk memperbaik akhlak umat di zamannya. Ketika umat telah mengabaikan perintah Allah, meninggalkan segala perintah Allah, bahkan menyekutukan Allah dengan tuhan yang mereka ada-adakan, hadir seorang manusia bernama Muhammad S.A.W. Wahyu pertama yang diturunkan kepadanya amat merisaukannya. Dia bakal memikul tugas yang maha hebat.
“Dialah yangmengutus seorang rasul kepada kaum yang buta huruf dari kalangan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, menyucikan (jiwa) mereka dan mengajarkan kepada mereka Kitab dan Hikmah (sunnah), meskipun mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata.”
(al-Jumu’ah,62:2)
Di saat kewafatan baginda, terus-menerus baginda tidak sanggup meninggalkan umat. Kegembiraan bakal bertemu Sang Pencipta memang amat-amat dinantikan namun kerisauan meninggalkan umat tanpa bimbingan menjadikan baginda amat sedih. Pesan baginda kepada sahabat agar menjaga umatnya tidak kering di bibirnya. Bukan tinggalan harta kepada keluarga yang disedihkan tapi baginda takut umatnya bakal menerima azab Allah. Apakah kita tidak tercuit mendengar pesan baginda? Adakah kita tidak mengambil pengajaran? Baginda mahu para sahabat meneruskan usaha dakwahnya. Baginda mahu kita semua terus berada dalam keimanan dan keselamatan dunia dan akhirat. Ingatlah wahai saudaraku, keimanan dan keselamatan yang diwariskan oleh baginda akan terhenti sekiranya usaha yang baginda lakukan tidak diteruskan.